Monday, April 7, 2008

Epal ikon baru pelancongan Sarawak



MAC dan Jun adalah masa memetik epal di Ladang Buduk Nur, Ba Kelalan.
Pesta Epal setiap Mac dan Jun di Ladang Kampung Buduk Nur, Ba Kelalan tarikan istimewa pengunjung
SUHU siang hari 25°C hingga 32°C manakala malam 15°C menjadikan Kampung Buduk Nur di Ba Kelalan, Lawas Sarawak memiliki keistimewaan. Kampung paling hujung di utara Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan Indonesia itu adalah lokasi 10 hektar ladang epal berjenama 'Ba Kelalan'. Mungkin anda tidak pernah terfikir, epal boleh ditanam secara komersial di Malaysia. Bagaimanapun di Buduk Nur, epal bukan saja menjadi ikon baru pelancongannya tetapi juga lambang kerjasama sekampung.

Sewaktu kumpulan media bertandang ke Buduk Nur, kami bukan saja disambut pemilik kebun epal, Tagal Paran, 74, dan ahli keluarganya malah penduduk kampung dan wakil rakyatnya Nelson Balang Rining yang menyambut dengan tarian selamat datang. Buduk Nur adalah satu daripada sembilan kampung di Ba Kelalan. Majoriti penduduknya suku kaum Lun Bawang (atau bermaksud Orang Gunung). Kedudukannya yang 2,900 kaki dari aras laut ditambah bentuk muka bumi bergunung ganang dan tanah tinggi berbalam, menjadikan cuaca Ba Kelalan sejuk dan sesuai untuk tanaman seperti epal, oren, avocado dan markisa. Walaupun jauh dari Kuching, Ba Kelalan dihubungi dengan penerbangan terus dari Miri ke Ba Kelalan menggunakan pesawat kecil ‘twin otter’ yang mengambil masa kurang 50 minit. Manakala dari Lawas, memandu ke Ba Kelalan sebaiknya menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa sekitar lima jam (bagi penduduk tempatan).

EPAL Ba Kelalan dijual RM10 sekilogram di ladang.

Bagaimanapun semua kepenatan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Miri dan Miri ke Ba Kelalan lenyap sebaik menjejakkan kaki ke Buduk Nur. Ladang epal milik Pak Tagal terletak di hujung landasan kapal terbang. Justeru awal-awal lagi kami sudah diingatkan perlu memanjat tangga untuk sampai ke sana. Ba Kelalan memang terkenal dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan cabaran. Justeru, memanjat tangga bukanlah terlalu sukar.
Apatah lagi wartawan yang mengikuti rombongan anjuran Tourism Malaysia dan Borneo Jungle Safari itu ketika itu sudah bermandi peluh dan hujan dalam aktiviti merentas hutan sebelum ke ladang epal.
Selain kedudukan ladang epal yang sedikit tinggi dari kawasan lain di Buduk Nur, ia juga turut bersempadan dengan sawah padi, antara punca rezeki utama penduduk di sini.
Dari jauh kelihatan pokok epal ditanam berbaris dan tumbuh dengan ketinggian di paras bahu lelaki dewasa.
Bagaimanapun, mungkin waktu kami tiba di Ba Kelalan bukanlah masa yang baik. Selain buah epal yang sudah hampir habis dipetik dari ladang atas faktor kualiti dan tujuan komersial, hujan juga turun renyai. Mujur juga hujan tidak lebat membolehkan kami ‘berpesta epal’. Ada kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ.
Manakala ada empat jenis epal dikeluarkan, epal merah yang dikenali sebagai ‘Rome Beauty’ epal kuning kehijauan ‘Mana Lagi’, epal hijau ‘Granny Smith’ dan sejenis lagi epal merah dikenali sebagai ‘Anna’. Antara empat jenis itu, Rome Beauty boleh dikatakan agak lasak.
Walaupun digolongkan sebagai epal merah, ia tidak merah sepenuhnya tetapi bercampur hijau. Apatah lagi saiznya lebih besar berbanding yang lain, ia lebih menjadi pilihan di kalangan pelancong yang membelinya sebagai buah tangan. Walaupun sedikit masam, tetapi Rome Beauty rangup berbanding Anna sejenis lagi epal merah yang bersaiz kecil dan sangat lembut seperti sutera. Anna bagaimanapun dipasarkan di bandar terdekat saja kerana ia mudah lebam jika dibiarkan terlalu lama selepas dipetik.
Manakala epal jenis Granny Smith adalah kacukan benih dari Australia yang dibawa balik bakanya oleh seorang daripada lima anak Pak Tagal, Mendiang Dr Judson Sakai Tagal, bekas Menteri Muda Pembangunan, Infrastuktur dan Komunikasi Sarawak yang terbunuh dalam nahas helikopter pada Julai 2004. Antara empat jenis yang ditanam, epal Mana Lagi cukup menarik perhatian. Kata Pak Tagal, benih asal Mana Lagi dibawa dari Batu Malang di Indonesia sebelum dikacukkan dengan benih epal lain. Warnanya kuning kehijauan dan baunya harum jika sudah cukup tua.
Kata Pak Tagal, ada cerita tersendiri di balik nama Mana Lagi. Kononnya, di Batu Malang seorang pelancong menyukai keenakan dan kerapuhan epal Mana Lagi dan bertanya mana lagi? mana lagi? dan akhirnya nama itu melekat. Satu ketika dulu, ladang itu ditanam dengan lapan jenis epal. Bagaimanapun, atas faktor kualiti, ia dihadkan kepada empat jenis saja. “Epal yang ditanam sekarang yang terbaik dari lapan jenis. Dulu kami berhadapan dengan masalah buah epal yang cepat buruk dan lebam dan sukar dipasarkan,” katanya.
Epal Ba Kelalan kata Pak Tagal, akan dipetik dua kali setahun iaitu Mac dan Jun. Memetik epal bukan hanya kerja keluarga dan pekerja saja, tetapi bagaikan pesta untuk seluruh penduduk Kampung Buduk Nur. Malah sesekali acara itu disertai pelancong tempatan dan turut menjadi tumpuan segelintir pelancong Eropah. Biasanya sepohon pokok epal mengeluarkan hampir 300 biji. Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal. Bagaimanapun jumlah itu tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan. Selain dijual di sekitar kampung, epal Ba Kelalan turut dijual di Lawas, Limbang dan Kota Kinabalu. Kata Pak Tagal, jumlah itu belum ditolak epal yang kurang kualitinya dari segi saiz dan bentuk Epal begitu tidak akan dipasarkan sebaliknya dijadikan jus dan jem. Menyedari Buduk Nur semakin dikenali sebagai lokasi tanaman epal di Malaysia, ia menerima makin ramai pelancong setiap tahun.
Justeru bagi memastikan epal sentiasa ada di Ba Kelalan dan pelancong boleh datang dan memetiknya di luar musim, Pak Tagal dan Mutang sedang berusaha untuk menambahkan keluasan ladang. Begitupun usaha itu kata Mutang, mungkin sukar kerana masalah kekurangan pekerja. Kebanyakan anak muda di Buduk Nur lebih berminat bekerja sendiri atau berhijrah ke bandar berhampiran seperti Lawas selain bekerja di Brunei dan Kuala Lumpur.
Selain itu, kebanyakan warga Ba Kelalan lebih tertumpu pada penanaman padi. Beras di Ba Kelalan adalah beras berkualiti yang cukup terkenal dengan nama Beras Bario. Ketika ini Pak Tagal mengusahakan ladang epal dengan bantuan Mutang dan beberapa pekerja mahir yang dibawa dari Indonesia. “Untuk mendapatkan hasil yang baik, masa penanaman epal itu penting. Penghasilan epal juga bergantung pada cuaca. Walaupun epal mungkin hanya boleh ditanam di kawasan suhu tertentu tetapi ia masih memerlukan matahari. Jika kerap hujan, sukar untuk pokok menghasilkan banyak buah. Tetapi kalau hujan sedikit, pokok dapat dipangkas dan buah lebih banyak,” katanya. Kata Pak Tagal, kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja.
Info
Jika anda berminat menyertai Pesta Epal Ba Kelalan Jun ini, Penerbangan Malaysia menyediakan perkhidmatan twin otter terus dari Miri ke Ba Kelalan setiap hari Rabu manakala pakej percutian Pesta Epal Ba Kelalan ada disediakan oleh Borneo Jungle Safari di talian 03-22604981 (Kuala Lumpur) atau 08-5435736/08-419737 (Miri).
Benih Mana Lagi dibawa dari Indonesia
SEJARAH tanaman epal di Ba kelalan bermula ketika Andrew Balang Paran, 71, menyertai majlis keagamaan di Batu Malang, Indonesia pada 1974. Kata Andrew, dia teruja melihat kebanyakan penduduk di Batu Malang ketika itu menanam pokok epal di tepi rumah mereka seperti menanam pokok betik. “Ia kelihatan sangat mudah dan pokok epal itu sangat subur,” katanya. Terlintas di hati Andrew untuk membawa balik benih epal berkenaan dan menanamnya di kampung halamannya, Buduk Nur, Ba Kelalan, Lawas kerana cuacanya yang hampir sama. Andrew tidak perlu membeli benih epal Mana Lagi yang dibawanya dari Batu Malang. Sebaliknya ia diberi percuma oleh rakan-rakannya di Batu Malang. Selepas mendapat kelulusan Jabatan Pertanian Indonesia, Andrew membawa balik 20 anak benih epal menerusi Singapura sebelum tiba di Kuching dan akhirnya sampai di Buduk Nur. “Perjalanannya sangat jauh tetapi dalam hati saya sentiasa ingin mencuba menanam epal dan melihat hasilnya,” katanya yang ditemui ketika Pesta Epal Ba Kelalan, baru-baru ini. Andrew berkata, ketika di lapangan terbang, seorang pegawai kastam dengan sinis bertanya: Bolehkah pokok epal di tanam di sini? Beliau ketika itu hanya menjawab akan mencubanya. Setahun selepas ditanam, walaupun pokok epal itu tumbuh subur dan membesar, ia tidak berbuah. “Saya hampir putus asa dan meminta pertolongan daripada Jabatan Pertanian,” katanya. Ketika itu Jabatan Pertanian banyak memberi bantuan seperti baja dan mengacukkannya dengan epal jenis lain. Bagaimanapun, tiga tahun menanti pokok epalnya masih tidak berbuah. Andrew akhirnya putus asa dan tidak mahu menjaganya. Deretan pokok epal yang hidup subur tetapi tidak berbuah itu diserahkan pada abangnya Tagal Paran pada 1977.
“Waktu itu saya sudah tidak mahu jaga lagi dan serahkan pada abang. Saya katakan padanya buatlah apa saja dengan pokok itu. Kalau pokok epal itu berbuah di bawah jagaannya, itu rezeki dialah,” katanya.
Di tangan abangnya Tagal Paran, kebun epal yang asalnya hanya ditanam dengan 20 batang pokok itu diluaskan. Banyak baka epal dari luar negara selain Indonesia dibawa masuk. Malah, Andrew dan mendiang anak saudaranya, Datuk Dr Judson Sakai Tagal turut ke Australia dan Indonesia untuk membeli benih pokok epal.
Setahun selepas diserahkan kepada abangnya, pokok epal itu mula berputik dan berbuah. Andrew menyifatkan dirinya masih bertuah walaupun pokok epal itu bukan lagi di bawah jagaannya tetapi dia masih berpeluang melihat ladang itu berkembang dan hari ini menjadi ikon pelancongan di Ba Kelalan.
Info
Epal Ba Kelalan

Ladang epal Ba Kelalan terletak di Kampung Buduk Nur, Lawas, Sarawak
Ladang berkeluasan 10 hektar itu dimiliki oleh Tagal Paran.
Suhu di Buduk Nur adalah, 25°C hingga 32°C (pada siang hari) manakala malam 15°C.
Terdapat kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ.
Ada empat jenis epal yang ditanam, 'Rome Beauty', 'Mana Lagi', 'Granny Smith' dan 'Anna'.
Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal
Kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja.

Memperkasa produk pelancongan

Integrasi pelbagai sektor beri kelebihan kepada negara tarik pelancong asing

PROGRAM Tahun Melawat Malaysia yang dilancarkan tahun lalu dilaporkan bukan saja mencapai sasaran, bahkan melebihi jangkaan ditetapkan.

Mengikut laporan, program itu berjaya menarik 20.7 juta pelancong, 600,000 melebihi sasaran asal. Selain itu, pelancong dilaporkan berbelanja sebanyak RM45.7 bilion berbanding RM44.5 bilion yang disasarkan. Kejayaan itu dikatakan hasil promosi, aktiviti dan pakej pelancongan yang ditawarkan serta kemudahan penerbangan disediakan, di samping keunikan dimiliki Malaysia kerana mempunyai masyarakat majmuk.

Berikutan kejayaan itu, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan program ini sehingga 31 Ogos tahun ini. Untuk sepanjang tahun ini, kerajaan mensasarkan menarik 21.5 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM49 bilion. Sewaktu membentangkan Bajet 2008 pada September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan, untuk meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama, kerajaan memperuntukkan RM858 juta bagi pelaksanaan pelbagai program, termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan serta mempelbagaikan produk pelancongan. Peruntukan RM22 juta disediakan untuk meningkatkan aktiviti 'homestay' bagi 47 kampung terpilih. Di samping itu, pembangunan projek ekopelancongan akan dilaksanakan untuk menjana pendapatan penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli.

Industri pelancongan negara sebenarnya memang sentiasa mencatatkan prestasi baik dari segi pertumbuhan ketibaan pelancong dan pendapatan pelancongan. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), misalnya, jumlah ketibaan pelancong meningkat 61 peratus daripada 10.2 juta pada 2000 kepada 16.4 juta pada 2005.

Pendapatan negara daripada industri pelancongan meningkat daripada RM17.3 bilion kepada RM32 bilion dalam tempoh yang sama, manakala pendapatan daripada akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran meningkat daripada 32.7 peratus kepada 43 peratus.

Pembangunan pelancongan juga menyumbang secara positif kepada perkembangan aktiviti dalam subsektor terutama industri perhotelan, kembara dan siar, peruncitan dan restoran serta pengangkutan. Dalam tempoh RMK-8, sektor itu mewujudkan 451,000 peluang pekerjaan. Perkembangan itu menjadi bukti kejayaan Malaysia menarik ramai pelancong asing ke negara ini. Malah industri pelancongan semakin menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan pertukaran asing.

Ia adalah hasil penekanan terhadap kepentingan meningkatkan kualiti produk pelancongan sedia ada secara berterusan serta membangunkan produk pelancongan baru bagi mendapatkan bahagian lebih besar daripada pasaran pelancongan dunia. Untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan menarik, kita perlu mempertingkatkan kemudahan dan mempelbagai produk pelancongan.

Kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan itu adalah bagi memenuhi pelbagai minat dan permintaan pelancong. Selain mempromosikan Malaysia sebagai tempat peranginan yang mempunyai pulau dan bukit yang menarik, kerajaan turut mempromosikan negara kita sebagai destinasi beli-belah dan acara utama antarabangsa, pelancongan berasaskan ekologi, pelancongan berasaskan pertanian, program tinggal bersama keluarga, pelancongan kebudayaan dan warisan serta pelancongan kesihatan.

Terbaru adalah usaha untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pendidikan. Rancangan ini menarik kerana sama seperti bidang lain, pendidikan juga boleh menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan industri pelancongan tempatan. Ketika ini bidang pendidikan menyaksikan pertambahan dari segi bilangan institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan di dalam negara mahupun program pengajian yang ditawarkan, termasuk program berkembar dengan universiti luar negara. Pertambahan itu sebenarnya menyediakan asas kepada pertumbuhan pelancongan pendidikan. Dari segi sambutan, sehingga akhir 2005, sejumlah 13,600 pelajar asing berdaftar dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini. Ia membuktikan IPT dalam negara sebenarnya sudah mendapat keyakinan dan kepercayaan pelajar asing, terutama dari negara serantau yang datang untuk mempelajari bahasa Inggeris serta negara Asia Barat selepas peristiwa 11 September. Keadaan ini sebenarnya mewujudkan peluang sampingan tambahan kepada negara bagi mempromosi dan menggalakkan ibu bapa pelajar terbabit mengambil peluang untuk bercuti di tempat tarikan pelancong ketika mengunjungi anak mereka. Selain itu, usaha boleh dilakukan bagi menarik pelajar, guru serta pegawai pendidikan negara lain melawat sekolah di negara ini untuk meninjau sistem pendidikan serta menimba pengalaman berhubung suasana persekolahan di Malaysia yang unik dengan interaksi sosial di kalangan pelbagai kumpulan etnik. Malah banyak produk pelancongan sedia ada yang boleh diintegrasikan dengan produk pelancongan pendidikan bagi menarik pelajar, guru serta pensyarah asing berkunjung ke negara ini. Misalnya, program ekopelancongan yang bertujuan mempromosi tempat tarikan semula jadi seperti pusat perlindungan haiwan liar, taman negara, tanah tinggi dan pulau boleh diketengahkan untuk membolehkan mereka meninjau dan memahami keadaan alam semula jadi negara kita. Pelbagai program pengembaraan, lawatan dan ekspedisi pendidikan boleh dijanakan di tempat menarik seperti Taman Negara di Semenanjung, Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Bako di Sarawak. Begitu juga dengan produk agropelancongan dan program inap desa (homestay) seperti tinggal di dusun serta lawatan ke taman pertanian dan pusat penyelidikan. Ia adalah antara produk pelancongan yang boleh diintegrasikan dengan pelancongan pendidikan melalui galakkan lawatan ke tempat kraf tangan serta menyertai aktiviti seperti membuat pasu, melukis batik, menganyam bakul dan menenun songket. Negara kita juga tidak kurang dengan tempat, bangunan dan bahan artifak peninggalan sejarah yang akan terus menjadi tarikan kepada pelancong. Kerajaan sudah mengenal pasti beberapa tempat dan bangunan bersejarah untuk dipulihara seperti Kota Kuala Muda di Kedah, Fort Alice di Sarawak dan kawasan neolitik Bukit Tengkorak di Sabah. Selain itu laluan bersejarah berdasarkan tema tertentu juga dirancang seperti warisan Baba Nyonya, era Portugis dan Belanda di Melaka, kawasan tinggalan perang di Kota Bharu serta Bunga Mas di Kedah dan Kelantan. Semua ini adalah produk pelancongan warisan yang sesuai diintegrasikan dalam pelancongan pendidikan untuk pelajar dan pensyarah dalam bidang sejarah, sosiologi dan antropologi. Bagi pelajar dan pensyarah dalam bidang kebudayaan, Malaysia adalah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budayanya untuk diketengahkan kepada mereka. Semua usaha ini sebenarnya selari dengan matlamat kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Bagaimanapun, kejayaan mempromosikan pelancongan pendidikan di negara ini bergantung kepada keupayaan untuk menarik lebih ramai pelajar asing ke Malaysia. Setakat ini kerajaan sudah menubuhkan lima Pusat Penggalakan Pendidikan Malaysia di luar negara iaitu di Beijing, China; Dubai (Emiriyah Arab Bersatu), Ho Chi Minh City (Vietnam), Jakarta (Indonesia) dan Jeddah (Arab Saudi). Sudah tentu lebih banyak pusat sedemikian perlu ditubuhkan di luar negara untuk membolehkan kita mengambil peluang daripada pasaran baru yang sedang pesat berkembang ini. Akhir sekali, sudah tentulah ia bergantung kepada sejauh mana keupayaan kita memperkenalkan produk baru dalam bidang pelancongan, termasuk mengintegrasikannya dengan bidang pendidikan.

Oleh itu, usaha yang lebih kreatif dan inovatif sudah tentu diperlukan di kalangan pengusaha sektor pelancongan. Dalam hal ini, kerjasama tentu boleh diwujudkan dengan institusi pengajian tinggi tempatan. Prof Datuk Mohd Shukri Ab Yajid ialah Presiden Management & Science University (MSU) serta Presiden Kumpulan Kolej PTPL

INTIPATI

Sumbangan industri pelancongan negara tak boleh dipandang remeh memandangkan prestasi yang sentiasa meningkat dengan pertambahan kemasukan pelancong asing.

Peningkatan kualiti produk pelancongan secara berterusan berupaya meraih pulangan lumayan dari segi ekonomi.

Kepelbagaian produk meliputi pelbagai sektor yang memaparkan pelbagai etnik mampu menarik minat dan memenuhi permintaan pelancong.

Produk pendidikan antara tarikan terbaru sektor pelancongan yang mampu dimanfaat sepenuhnya bagi menarik pelajar asing ke negara ini.

Kepelbagaian etnik, budaya dan sejarah warisan boleh dieksploitasi dan diintegrasi menerusi sektor pendidikan ke arah menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan serantau.
Cetak artikel Hantar